Kitaran Hidup Ikan Salmon Yang Penuh Cabaran

Kitaran hidup ikan salmon yang penuh cabaran

Naluri haiwan merupakan satu keajaiban yang paling menakjubkan yang dicipta oleh Allah. Ia merupakan gerak hati semula jadi yang terdapat pada semua jenis haiwan, dari yang paling kecil hingga yang terbesar, dari mamalia hingga reptilia.

Bagi haiwan, naluri adalah sebahagian daripada diri mereka dan membantu mereka untuk bertahan hidup di dunia yang penuh dengan cabaran.

Naluri haiwan merujuk kepada keupayaan semula jadi untuk bertindak atau merasai tanpa perlu diajar atau dilatih.

Ini bermakna naluri adalah sifat semula jadi yang terdapat dalam setiap haiwan, seperti keupayaan untuk makan, mencari pasangan, dan menjaga anak-anak mereka. Contohnya, anak burung yang baru menetas akan secara automatik membuka paruh mereka untuk meminta makanan dari ibu mereka, tanpa perlu diajar bagaimana melakukannya.

Meskipun manusia juga memiliki naluri, tetapi haiwan menunjukkan bagaimana mereka dapat memanfaatkan naluri mereka sehingga mencapai tahap yang tidak dapat dijelaskan oleh akal manusia.

Haiwan mempunyai kebolehan untuk beradaptasi dan mencari makanan dan juga melanjutkan keturunan, dan manusia juga seringkali belajar dari haiwan.

Salmon mungkin salah satu haiwan yang mempunyai kitaran hidup yang paling menarik di alam semulajadi. Kitaran hidup mereka mengajar manusia tentang makna prinsip dan perjuangan.

Jenis-Jenis Ikan Salmon


Jenis-jenis ikan salmon

Didalam dunia ini, terdapat 9 spesies salmon yang terdiri daripada 8 spesies yang berasal dari lautan Pasifik iaitu Chinook salmon, Coho salmon, Sockeye salmon, Pink salmon, Chum salmon, Masu salmon, Cherry salmon, Danube salmon, dan satu spesies lagi berasal dari lautan Atlantik iaitu Atlantic salmon.

Walaupun dikenali sebagai ikan laut, salmon sebenarnya dapat hidup di air tawar dan laut.

Dalam dunia ikan, salmon terbahagi kepada dua kumpulan yang melakukan migrasi semasa hidup mereka.

Pertama sekali, jenis ikan katadromus, yang bertelur dan dilahirkan di laut tetapi bermigrasi ke air tawar dalam suatu ketika.

Contohnya, belut - dilahirkan di laut namun bermigrasi ke air tawar pada suatu masa yang tertentu.

Kumpulan kedua dikenali sebagai jenis anakromos, terdiri daripada spesies ikan yang lahir di air tawar tetapi berhijrah ke laut, termasuklah salmon.

Keistimewaan inilah yang menjadikan perjalanan hidup mereka sangat menarik.

Kitaran Hidup Ikan Salmon


Kitaran hidup ikan salmon

Di habitat semulajadi mereka, salmon boleh mencapai panjang sehingga 75 cm dan berat 6 kg bergantung kepada spesiesnya.

Dengan sisik perak yang berkilau seperti baju pelindung besi, salmon juga dikenali sebagai Raja Ikan.

Kitaran hidup salmon bermula di kawasan air tawar di hulu sungai, di mana telur mereka menetas dan permulaan hidup mereka bermula.

Anak ikan salmon yang baru menetas dikenali sebagai Alevin. Mereka memiliki warna merah dan kantung yang melekat di tubuh mereka. Sementara itu, ikan-ikan ini harus hidup di antara batu-batu kerikil kecil yang berada di dasar sungai.

Setelah lima minggu, mereka menjadi ikan kecil dan mulai menjelajahi sungai. Pada tahap ini, panjang tubuh mereka sekitar 2 cm dan makanannya adalah plankton.

Ini adalah fasa di mana salmon belajar mengenali bahaya. Banyak di antara mereka yang akan mati kerana pemangsa, persaingan atau dibawa arus sungai.

Tetapi bagi mereka yang berjaya mencapai usia satu tahun, hampir menjangkau tahap dewasa. Ikan-ikan ini kemudian digelar sebagai Smolt.

Migrasi ke Laut


Penghijrahan ikan salmon ke laut

Pada fasa ini, mereka akan berkumpul dan membentuk kumpulan. Mereka bersedia untuk memulakan migrasi pertama mereka ke laut.

Perjalanan ke laut agak jauh, ada yang perlu menempuh perjalanan sehingga 2500 kilometer! bergantung pada tempat kelahiran mereka.

Salmon Chinook, yang bermigrasi dari Sungai Yakon di Canada, bahkan perlu berenang sejauh 2960 kilometer untuk tiba di laut!

Selain itu, semasa perjalanan mereka ke laut, salmon akan menghadapi banyak dugaan dan rintangan, terutamanya di kawasan muara sungai, di mana banyak pemangsa telah berkumpul termasuk bangau, anjing laut, dan juga manusia.


Namun, salmon yang terselamat akan sampai ke laut dan meneruskan penggembaraan mereka.

Salmon mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan air masin. Mereka melakukan proses yang dipanggil Osmoregulasi.

Salmon mampu mengawal jumlah larutan dalam tubuh mereka untuk mengekalkan keseimbangan. Ketika berada di laut, mereka akan minum lebih banyak air dan membuang garam berlebihan melalui insang dan urin. Ini membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan air masin.

Salmon akan menghabiskan masa antara 2 hingga 7 tahun di laut sebelum tiba masanya untuk bertelur.

Migrasi ke Sungai


Penghijrahan ikan salmon ke sungai

Untuk kali kedua dalam hidup mereka, salmon akan berkumpul untuk bermigrasi. Namun, migrasi kali ini berbeza dengan sebelumnya.

Migrasi ini adalah untuk bertelur.

Salmon hanya boleh bertelur di air tawar, oleh itu mereka perlu kembali ke sungai.

Yang uniknya, salmon-salmon ini akan bertelur di tempat yang sama - dimana sungai tempat mereka dilahirkan.

Masih menjadi misteri bagaimana salmon dapat mengingati tempat kelahiran mereka selepas berhabis bertahun-tahun di laut.

Pada musim luruh antara bulan September dan November, adalah masa yang sesuai untuk salmon bermigrasi.

Walaupun mereka telah melalui beribu-ribu kilometer untuk berjalan di laut lepas, naluri mereka akan membawa mereka kembali ke muara sungai di mana mereka pertama kali keluar dari telur mereka.

Di sana, mereka akan memulakan perjalanan mereka ke hulu sungai, melawan arus air yang deras.

Salmon merupakan perenang yang hebat, mampu berenang melawan arus sehingga 50 kilometer sehari!

Perjalanan salmon menuju ke sungai

Namun migrasi ribuan kilometer ini akan memakan masa berminggu-minggu.

Semasa perjalanan kembali ke air tawar, salmon biasanya akan berhenti makan kerana tubuh mereka bersedia untuk bertelur. Mereka menggunakan tenaga mereka untuk berenang melawan arus yang deras.

Tenaga yang digunakan sangat banyak, sehingga kulit salmon akan berubah menjadi merah.

Ini kerana semasa migrasi, salmon menghabiskan semua lemak yang mereka simpan, dan pigmen akan mengubah warna daging mereka menjadi merah, juga mengubah warna kulit mereka.

Warna merah pada daging salmon liar adalah disebabkan oleh kandungan pigmen Astaxantin.

Astaxantin adalah sebatian kimia alami yang biasanya terdapat pada ikan atau buah-buahan yang berwarna merah.

Sebatian ini juga terdapat pada salmon kerana mereka memakan alga bernama Haematococcus Pluvialis semasa di laut.

Yang menariknya, Astaxantin mempunyai banyak manfaat bagi manusia melawan pelbagai penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, gangguan sistem pencernaan dan banyak lagi.

Oleh itu, salmon adalah salah seekor ikan yang kaya dengan nutrisi untuk manusia!

Risiko yang dihadapi Salmon


Risiko yang dihadapi salmon

Semakin lama proses migrasi berlangsung, semakin lemah salmon. Bagaimanapun, mereka masih perlu berdepan dengan pemangsa yang menunggu, seperti beruang yang menantikan detik penghijrahan salmon bagaikan satu pesta perayaan yang hanya diadakan setahun sekali.

Beruang akan berdiri di tebing sungai, menunggu salmon melompat ke dalam mulut mereka.

Walaupun penghijrahan ini tidak menyenangkan, banyak salmon akan menamatkan perjalanan mereka di sini, tetapi mereka yang bertahan dan selamat dalam perjalanan ribuan kilometer ini akan sampai ke hulu sungai, tempat yang tenang di dalam hutan dengan air yang jernih, tempat terbaik untuk menyimpan telur mereka.

Sebelum bertelur di dalam air, salmon betina akan mengepakkan ekornya untuk menyapu batu kerikil kecil di sekelilingnya dan membuat lubang untuk telur itu diletakkan.

Seekor salmon betina mampu menghasilkan sehingga 5000 hingga 8000 biji telur, tetapi tidak semua telur berjaya untuk hidup.

Apabila salmon betina mula bertelur, salmon jantan akan datang dan menyuburkan telur.

Biasanya, terdapat seekor atau lebih salmon jantan mendekati salmon betina.

Kajian menunjukkan bahawa telur salmon harus diletakkan di bawah kerikil di sekeliling air yang sejuk dan mengalir dengan baik untuk mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi.

Kadar kematian ikan salmon berlaku pada peringkat ini sangat tinggi disebabkan oleh perubahan alam semula jadi dan kerosakan ekosistem sungai akibat perbuatan manusia!

Selepas semua telur disenyawakan, salmon betina dan jantan akan mati kerana tenaga mereka telah digunakan dengan banyak semasa migrasi.

Terdapat juga beberapa salmon Atlantik yang berjaya dan kembali ke laut, tetapi jumlahnya sangatlah jarang.


Salmon Pasifik semuanya akan mati di sana, tetapi salmon yang mati akan menjadi makanan untuk plankton, dan plankton ini akan menjadi makanan untuk penghuni sungai yang lain termasuk anak salmon yang menetas beberapa bulan kemudian.

Salmon Pasifik mudah ditemui di habitat liar, tetapi spesies salmon Atlantik semakin jarang ditemui malah di ambang kepupusan!

Ini kerana pembinaan empangan sungai telah memusnahkan habitat semulajadi salmon dan menghalang proses pembiakan mereka!

Kesan daripada aktiviti ini menyukarkan salmon untuk mencari tempat bertelur yang selamat dan sesuai untuk kemandirian spesiesnya.

Akibatnya, populasi salmon Atlantik telah menurun secara mendadak dari semasa ke semasa!

Walaupun beberapa negara bekerjasama dalam melindungi hidupan Lautan Atlantik, namun yang terdapat didalam pasaran sekarang adalah salmon hasil dari penternakan sangkar.

Salmon merupakan makhluk yang mengagumkan kerana ia sanggup menentang arus air yang deras, menanggung kesakitannya sendiri dan mengambil risiko dimakan oleh pemangsa semata-mata untuk mencapai satu-satunya matlamat mereka iaitu bertelur di hulu sungai.

Ikan salmon tidak pernah kenal siapa ibu bapanya, namun yang mereka tahu, anak-anak mereka mesti membesar di tempat terbaik walaupun apa jua keadaannya..

Tempat terbaik yang dimaksudkan adalah tempat kelahiran mereka.
Admin

Telah mula menulis sejak 2011 tapi terbantut ditengah jalan. Kini kembali menulis lagi untuk berkongsi maklumat menarik dan terkini dalam dunia blogging, tips, infosihat, informasi menarik dan bermacam lagi. Stay Tuned!

*

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama