Ini Sebab Kenapa Pencipta Enjin Menggunakan Air Dilenyapkan

Ini sebab kenapa pencipta enjin menggunakan air dilenyapkan

Pernahkah anda mendengar kisah mengenai seorang lelaki yang berjaya mencipta enjin yang menggunakan air paip untuk menggerakkan kenderaan? Mungkin ada di antara anda yang pernah dan ada juga yang tidak.

Namun, soalan yang sering menjadi tanda tanya ialah, jika lelaki itu benar-benar berjaya mencipta enjin tersebut, mengapa kita tidak melihat kereta yang berfungsi menggunakan air paip?

Bukankah kereta yang digunakan sekarang masih lagi menggunakan petrol atau elektrik?

Jawapannya mudah, enjin tersebut tidak sempat disiapkan kerana lelaki itu telah meninggal dunia!

Terdapat satu teori konspirasi yang menyatakan bahawa lelaki itu telah dibunuh oleh pembunuh upahan yang diupah oleh 'tauke-tauke minyak'. Hal ini disebabkan jika enjin tersebut berjaya dicipta, ia akan menyebabkan bisnes minyak mereka merosot dan akhirnya gulung tikar!

Benar atau tidak, kita mesti ingat bahawa setiap penemuan yang berpotensi membahayakan industri tertentu, tidak semestinya akan mendapat sokongan dan persetujuan daripada pihak berkuasa yang terlibat dalam industri tersebut.

Lelaki yang menciptakan enjin menggunakan air sebagai bahan bakar yang penulis maksudkan diatas ialah Stanley Allen Meyer.

Siapakah Stanley Allen Meyer?

Stanley Allen Meyer merupakan seorang lelaki yang terkenal kerana dikatakan berjaya mencipta enjin yang menggunakan air sebagai bahan bakar.

Beliau dilahirkan pada 24 Ogos 1940 di Columbus East Side, Ohio, Amerika Syarikat, juga sebagai kembar bersama dengan adiknya, Stephen Allen Meyer.

Beliau dibesarkan dan bersekolah di Grandview Heights, Columbus, Ohio sebelum melanjutkan pengajian di Ohio State University.

Selepas menamatkan pengajian, Stanley berkhidmat dalam tentera Amerika Syarikat.

Sejak kecil lagi, Stanley dan adiknya mempunyai minat dalam mencipta sesuatu. Sebagai contoh, ketika kanak-kanak, mereka mencipta sendiri mainan mereka.

Paten dan Projek

Selepas tamat perkhidmatan didalam tentera, Stanley bekerja di Batelle Foundation di Ohio.

Beliau juga terlibat dalam pembangunan Projek Gemini bersama NASA dan ketika itu sedang mencipta sistem untuk sumber tenaga berdasarkan konsep EBED (Energy Based Economic Development) untuk projek Star Wars.

Kemudian, Stanley bergabung dengan adik kembarnya iaitu Stephen Meyer, bekas jurutera dalam bidang elektrik US Air Force (USAF), bekerja bersama untuk mendapatkan projek-projek kerajaan.

Mereka berjaya mendapatkan projek bernilai jutaan dolar dalam bidang pengangkutan dan alat ganti kenderaan. Disebabkan Stanley mempunyai perniagaan sendiri, semua projek saintifiknya dibiayai menggunakan duit peribadinya.

Stanley telah mencipta sebanyak 42 paten dalam pelbagai bidang, termasuk dalam bidang Oceanography (ilmu lautan), sistem pemantauan jantung, dan sistem pengesahan perbankan.

Mendapat Penghargaan

Pada awalnya, Stanley cuba untuk mematenkan setiap hasil ciptaannya untuk mengelakkan orang lain daripada mencuri idea-ideanya. Namun, pejabat pendaftaran paten tidak memberikan perhatian yang serius kepadanya sehingga pada awal tahun 1989, permohonannya akhirnya diberikan perhatian istimewa.

Permintaaannya dapat diluluskan hanya dalam lapan bulan sahaja, berbanding dengan purata masa menunggu selama bertahun-tahun bagi lebih kurang 200,000 permohonan paten yang lain pada masa itu.

Ini menunjukkan betapa pentingnya teknologi hasil ciptaan Stanley pada waktu itu.

Kerana jasanya dalam bidang ciptaan dan penemuan, Stanley telah dianugerahkan dengan pelbagai penghargaan oleh organisasi tempatan dan antarabangsa.

Bahan Bakar Alternatif

Semuanya bermula pada tahun 70-an ketika negara-negara Arab memutuskan untuk melaksanakan embargo petroleum terhadap Amerika Syarikat disebabkan sokongan Amerika terhadap Israel semasa peperangan Arab-Israel.

Kenaikan harga petroleum yang tiba-tiba ini menyebabkan ramai rakan Stanley mengalami kebankrapan dan terpaksa 'gulung tikar'.

Dalam sebuah dokumentari, Stanley menyatakan bahawa;

"Adalah amat penting untuk kita mencuba memperkenalkan satu sumber bahan bakar alternatif dan perkara ini mesti dilakukan dengan segera".

Stanley mula fokus untuk mencipta satu sistem yang dikenali sebagai 'Water Fuel Cell' yang kemudian telah dipatenkannya.

Beliau menyatakan bahawa kereta yang menggunakan Water Fuel Cell ini boleh menggunakan air sebagai bahan bakar dan tidak perlu lagi bergantung pada petrol.

Water Fuel Cell ini dikatakan mampu memisahkan dua komponen dalam air iaitu hidrogen dan oksigen. Hidrogen inilah yang digunakan untuk menghasilkan tenaga bagi menggerakkan kenderaan.

Kemudian, Stanley dipanggil untuk melakukan demonstrasi di hadapan Profesor Michael Laughton, Dekan Kejuruteraan di Mary College, London. Namun begitu, Stanley menolak dengan alasan yang pelbagai.

Setelah itu, Stanley menguji ciptaannya secara terbuka apabila dia membawa buggy Volkswagen yang dipasangkan dengan sistem Water Fuel Cell dan membawanya dari Los Angeles ke New York hanya menggunakan 20 galon air daripada paip!

Berita mengenai kejayaan Stanley tersebar luas dan banyak ahli perniagaan yang terkenal teruja untuk melabur dalam projeknya.

Antaranya ialah William E. Brooks, pemilik syarikat penerbangan dari Anchorage, Alaska yang melabur sebanyak $300,000 dalam teknologi Stanley Meyer kerana beliau merancang untuk menggunakan teknologi ini dalam kapal terbangnya.

Stanley berasa sangat gembira dengan pencapaiannya pada ketika itu, namun sayangnya beliau tidak menyangka bahawa beliau akan 'dilenyapkan' selepas itu!

Setelah daripada itu, beliau telah dituduh di mahkamah kerana didakwa telah melakukan penipuan.

Misteri Kematian Stanley

Pada tahun 1994, Mahkamah telah memutuskan bahawa Stanley harus mengembalikan wang pelaburan William. Kemudian, dua tahun selepas itu, Hakim Mahkamah memutuskan bahawa Water Fuel Cell yang Stanley patenkan itu sebagai 'scam'.

Setelah sekian lama melakukan penyelidikan dan bereksperimen, Stanley dan Stephen dikatakan berjaya bekerjasama dengan dua pelabur dari Belgium.

Pada 20 Mac 1998, mereka bertemu dengan dua orang pelabur dari Belgium di restoran Cracker Barrel, Grove City.

Menurut keterangan Stephen, setelah selesai pertemuan itu, dua pelabur itu pun beredar, Stephen pergi ke tandas dan meninggalkan Stanley di meja seorang diri.

Semasa menunggu, Stanley dikatakan meminum jus kranberri dan kemudian dia terus pegang lehernya dan berjalan keluar dari restoran.

Setelah keluar, Stanley terus jatuh dan muntah dengan teruk.

Stephen yang melihat kejadian itu selepas keluar dari tandas terus berlari ke arah Stanley dan bertanya apa yang terjadi, dan Stanley menjawab "mereka dah racun aku!".

Akhirnya, Stanley meninggal di pangkuan Stephen.

Punca Kematian Stanley

Pihak polis Groove City mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiasat punca kematian Stanley dan akhirnya membuat kenyataan berdasarkan laporan koroner menyatakan bahawa punca kematian Stanley Meyer adalah akibat dari 'Brain Aneurysm'.

Brain Aneurysm adalah keadaan di mana saluran darah otak membengkak atau pecah yang menyebabkan darah membeku dalam otak.

Ketua detektif, Leftenan Steve Robinette yang menyiasat kes ini, telah mengesahkan bahawa kematian Stanley tidak disebabkan oleh keracunan seperti yang didakwa dalam berita-berita palsu yang tersebar waktu itu.

Beliau dengan tegas menolak semua teori konspirasi yang dibuat.

Stephen Meyer juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa hari selepas kematian Stanley, beliau bertemu dengan dua orang pelabur Belgium untuk memberitahu mereka tentang berita tersebut.

Stephen terkejut apabila dia melihat bahawa kedua-dua orang itu sangat tenang dan tidak memberikan sebarang reaksi. Mereka tidak mengucapkan takziah atau bertanya apa-apa tentang sebab kematian abangnya itu, mereka hanya mendengar dan seterusnya berlalu pergi.

Kesimpulan

Kematian Stanley pada 21 Mac 1998, ketika berusia 57 tahun telah menghalang kajian beliau yang berpotensi mengakhiri kebergantungan manusia pada bahan api fosil.

Sebelum kematian Stanley Meyer, Arthur C. Clarke, seorang penulis sains fiksyen, menceritakan mengenai Water Fuel Cell dalam sebuah dokumentari yang disiarkan di BBC pada tahun 1995.

Setelah itu, ramai telah berusaha untuk menghasilkan semula ciptaan Stanley tapi malangnya tidak berjaya.

Penulis yakin ramai yang was-was sama ada hasil kerja Stanley itu benar atau hanyalah palsu semata-mata adalah kerana disebabkan Stanley menyimpan semua formula ciptaannya secara peribadi.

Menurut Phillip Ball, editor jurnal berjudul 'Nature', penemuan air sebagai bahan api adalah Pseudosains!

Ini kerana hidrogen memang boleh dijadikan sebagai bahan bakar, tetapi untuk menghasilkan hidrogen daripada air memerlukan lebih banyak tenaga daripada apa yang boleh dihasilkan!

Hanya Stephen Meyer yang mengetahui mengenai formula rahsia ciptaan Stanley dengan tepat, tetapi selepas beliau melihat dugaan yang Abangnya-Stanley terpaksa hadapi akibat ciptaannya sendiri, Stephen memutuskan untuk tidak meneruskan lagi kerja-kerja Stanley.
Admin

Telah mula menulis sejak 2011 tapi terbantut ditengah jalan. Kini kembali menulis lagi untuk berkongsi maklumat menarik dan terkini dalam dunia blogging, tips, infosihat, informasi menarik dan bermacam lagi. Stay Tuned!

*

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama