Perjalanan Seni Ibrahim Pendek: Dari Taiping ke Hollywood

Perjalanan seni ibrahim pendek: dari taiping ke hollywood

Tahukah anda bahawa Ibrahim Pendek adalah pelakon Malaysia pertama yang berlakon di hollywood? Ya benar, beliau adalah pelakon legenda yang dikenali dengan watak-watak komedi, dan juga pernah berlakon bersama dengan pelakon hebat lain dari Malaysia seperti Tan Sri P. Ramlee.

Filem-filem yang lakonannya paling terkenal ialah Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi, Setinggan dan banyak lagi. Antara dialog beliau yang paling diingati ialah "Ai Ai Cip" yang dipetik dari filem Ali Baba Bujang Lapok.

Sejarah Awal Ibrahim Pendek


Sejarah awal ibrahim pendek

Ibrahim Pendek dilahirkan pada tahun 1932 di Taiping, Perak, Nama asal beliau ialah Ibrahim bin Hassan. Disebabkan ketinggiannya hanya sekitar 130 cm atau 4 kaki 2 inci, beliau menerima gelaran 'Pendek'. Pada awal tahun 1950-an, beliau telah berpindah dan merantau ke Singapura untuk mencari rezeki.

Namun, niatnya bukanlah untuk menceburi bidang perfileman. Tidak disangka-sangka, pada suatu hari, beliau secara kebetulannya bertemu dengan Run Run Shaw, pemilik syarikat perfileman Hong Kong yang berpangkalan di Singapura dan kemudian menubuhkan Shaw Brothers bersama abang-abangnya Runje, Runme dan Runde.

Penglibatan ke dunia lakonan


Run Shaw telah memberi peluang kerjaya kepada Ibrahim Pendek dengan menawarkannya pekerjaan sebagai budak pejabat. Sejak itulah, beliau mula berkecimpung dalam bidang perfileman apabila menjadi operator projektor di Studio Jalan Ampas.

Ibrahim Pendek turut mendapat peluang untuk berlakon sebagai pelakon tambahan, berkat pengaruhnya yang tinggal serumah dengan seniman S. Sudarmaji. Pada tahun 1954, beliau ditawarkan peluang lakonan yang lebih besar bersama seniman P. Ramlee dalam filem Panggilan Pulau yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

Populariti beliau meningkat setelah filem pertamanya. Disebabkan wataknya yang lucu, beliau diberikan peluang untuk berlakon dalam beberapa filem komedi yang terkenal seperti Ali Baba Bujang Lapok, Nasib Labu-Labi, Siti Muslihat, Pendekar Bujang Lapok dan banyak lagi.

Pada masa yang sama, syarikat perfileman Hollywood, Universal International, telah datang ke Singapura dan mengunjungi Studio Jalan Ampas.

Keberangkatan ke Hollywood

Keberangkatan ke hollywood

Mereka benar-benar menaruh minat pada lakonan Ibrahim Pendek dalam Ali Baba Bujang Lapok. Dengan tidak disangka-sangka, beliau telah menerima satu surat tawaran untuk berlakon di Hollywood daripada Universal International.

Pada 18 Ogos 1961, beliau berangkat meninggalkan Malaysia untuk menghabiskan 54 hari di Hollywood. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang berlakon dalam filem keluaran Hollywood. Beliau dihantar ke airport oleh para pelakon dan petugas dari Malay Film Production untuk menghormati jasa dan prestasi beliau ketika itu.

Ibrahim Pendek dipilih untuk menggalas watak pembantu doktor dalam filem The Spiral Road (1962) yang mana turut dibintangi beberapa pelakon terkenal Hollywood pada masa itu seperti Rock Hudson, Gena Rowlands dan lain-lain.

Ibrahim Pendek telah berkongsi pengalamannya sepanjang berada di Hollywood. Beliau menyifatkannya sebagai pengalaman yang menyenangkan, kerana mendapat layanan yang istimewa.

Beliau juga menggambarkan sistem berlakon disana sangat teratur dan berdisplin, dimana setiap pelakon mendapat bilik masing-masing dan menunggu masa dipanggil untuk melakonkan babak yang diperlukan.

Ibrahim pendek - the spiral road

Pelakon-pelakon tidak dibenarkan berlatih secara berlebihan dan tidak mendapat arahan khusus tentang cara melakonkan sesuatu babak. Mereka mendapat kebebasan untuk melakonkan watak mengikut kemahuan masing-masing dan setiap babak akan diambil dalam banyak kali. Pengarah akan menyaring dan memilih shot yang terbaik untuk digunakan dalam filem.

Beliau tidak dapat melupakan kenangan manis ketika dia mendapat pujian daripada pengarah Bob Mulligan untuk lakonannya yang membuatkan dia juga menerima sebuah pemain piring hitam daripada penerbit filem Robert Arthur sebagai penghargaan atas lakonannya.

Selepas "The Spiral Road", Ibrahim Pendek diberi peluang lagi oleh pihak perfileman Hollywood untuk terus berlakon di sana. Namun, hajatnya untuk terus berlakon disana tidak kesampaian kerana permohonan visa beliau tidak diluluskan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada masa itu.

Ibrahim pendek - xx ray 1992

Walau bagaimanapun, beliau pulang ke tanahair dan telah menerima tawaran untuk berlakon didalam filem tempatan sepanjang tahun 1960-an sehinggalah awal 90-an. Filem terakhir yang dilakonkan oleh Ibrahim Pendek ialah XX-Ray (1992) di mana dia memegang watak sebagai Beragas bersama pelakon dan pengarah terkenal, Aziz M. Osman dan Faizal Hussein.

Selepas berpuluh-puluh tahun berlakon, Ibrahim Pendek akhirnya menyepi dari bidang lakonan. Dia menghabiskan masa diusia tuanya dengan menjual makanan di sekitar Ampang dan Cheras, Kuala Lumpur. Walaupun ada peluang dan tawaran berlakon yang diterimanya, beliau terpaksa menolak kerana masalah kesihatan yang tidak membolehkannya memberi komitmen penuh.

Pada 25 November 2003, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 71 tahun, pada hari yang sama umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri. Telemovie "Selamat Hari Jadi Abah" adalah lakonanya yang terakhir.

Ibrahim Pendek telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama dua minggu akibat masalah buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Beliau meninggalkan tujuh orang anak. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.
shiera

Seorang yang baik hati, peramah dan cute :D Sangat suka menulis dan membaca.

*

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama