Asal-Usul Jenama Maggi

Asal-usul jenama maggi

Maggi adalah salah satu jenama yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia sehingga ramai yang menganggap ia sebagai jenama tempatan.

Namun, hakikatnya Maggi bukanlah jenama tempatan!

Jenama Maggi telah memberi pengaruh yang besar kepada rakyat Malaysia, sehingga semua mi segera di Malaysia sering disebut 'Maggi'. Tidak kira jenama Mamee atau mi Sedap dan sebagainya, selagi produk itu adalah mi segera, kita akan panggil ia Maggi.

Sejak zaman kanak-kanak lagi, kita selalu menggemari jenama makanan tertentu seperti Maggi. Jadi, mengapa tidak kita pelajari tentang asal-usul Maggi kali ini? Jom!

Asal-Usul Jenama Maggi


Asal-usul jenama maggi-2

Maggi, jenama dari Switzerland yang diasaskan pada tahun 1884, mempunyai sejarahnya yang unik. Jenama Maggi berasal daripada nama pengasasnya iaitu Julius Michael Johannes Maggi. Beliau dilahirkan pada tahun 1846 di Frauenfeld, Switzerland dan meninggal dunia pada usia 66 tahun pada tahun 1912 di Küsnacht, Switzerland.

Julius Maggi mula menguji pelbagai adunan tepung pada awal 1880-an. Beliau mula menjual tepung pada tahun 1882 dan menubuhkan syarikat Maggi tidak lama selepas itu. beliau mengembangkan syarikat Maggi pada tahun 1886 dengan pengenalan barangan perasa tambahan.

Pada masa inilah beliau sedar bahawa wanita menghadapi masalah di mana mereka tidak mempunyai masa untuk memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga kerana wanita pada masa itu sudah sibuk bekerja dan berada lebih banyak di tempat kerja daripada berada di dapur.

Mengapa Kacang?


Mee maggi dibuat dari kekacang

Julius Maggi adalah seorang yang mendahului zamannya. Beliau memahami bahawa masyarakat amat memerlukan makanan yang bukan sahaja berkhasiat, tetapi juga mengenyangkan dan lazat. beliau tahu bahawa pekerja yang sibuk yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan berkhasiat, memerlukan makanan yang mudah didapati.

Seorang doktor bernama Fridolin Schuler mengatakan kepada Julius Maggi tentang sebab mengapa kekurangan pemakanan yang betul bertanggungjawab terhadap kadar penyakit dan kematian bayi yang tinggi dalam masyarakat ketika itu.

Schuler yakin bahawa kacang yang kaya dengan nutrien adalah penyelesaiannya, kerana daging pada waktu itu, dianggap sebagai makanan mewah kelas atasan, tidak dapat dicapai oleh kelas bawahan.

Julius Maggi sangat dipengaruhi oleh pendapat Dr. Schuler dan memutuskan untuk mencipta tepung yang diperbuat daripada kacang. Ia adalah satu langkah yang luar biasa bagi seorang lelaki yang bukan sahaja mempunyai 'otak bisnes', tetapi juga berminat untuk mengambil nasihat daripada seorang doktor perubatan.

Selepas dua tahun penyelidikan, Julius Maggi melancarkan tepung baharunya yang diperbuat daripada kacang. Pada tahun 1885, beliau terus menjual serbuk sup segera pertama di dunia, yang mendapat sambutan segera. Setahun kemudian, pada tahun 1886, beliau memperkenalkan perasa Maggi, yang kemudiannya menjadi asas untuk menghasilkan sup dan sos. Produk awal ini berjaya, membuka jalan kepada Maggi mengembangkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

Penglibatan dalam Pengurusan Jenama


Penglibatan maggi dalam pengurusan jenama

Komitmen Julius Maggi terhadap pengurusan jenama merupakan faktor penting dalam kejayaan syarikatnya. Beliau memahami bahawa melindungi jenama Maggi adalah penting untuk pertumbuhan dan reputasi syarikat. Untuk tujuan ini, beliau bersusah payah mendaftarkan pelbagai tanda dagangan dan variasi jenamanya di negara yang berbeza.

Di Switzerland sahaja, Julius Maggi mendaftarkan tidak kurang daripada 18 variasi nama Maggi, daripada 'Maggi' kepada 'MAGIQUE', yang bunyinya sama dengan Maggi semuanya didaftarkan. Matlamatnya cuma satu - adalah untuk menghalang sebarang percubaan untuk menyalin jenamanya, yang dilihatnya sebagai ancaman kepada kejayaan syarikat.

Menjelang tahun 1888, Julius Maggi telah membuka cawangan di beberapa negara, termasuk Jerman, Perancis, Itali, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Peluasan ini membantu mengukuhkan lagi jenama Maggi sebagai peneraju global dalam industri makanan.

Selepas beberapa perubahan dalam pemilikan dan struktur korporat, Syarikat Maggi bergabung dengan Syarikat Nestle pada tahun 1947 untuk membentuk Nestle S.A. Langkah strategik ini meluaskan lagi capaian jenama Maggi, kerana Nestle mempunyai visi dan kepakaran dalam industri makanan untuk membantu membawa jenama itu ke tahap yang lebih tinggi.

Sejarah Maggi di Malaysia


Sejarah maggi di malaysia

Maggi memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1969. Maggi bermula dengan barangan berasaskan sos seperti tomato dan cili. Tidak lama kemudian Maggi melancarkan produk paling popular mereka, iaitu mi segera berperisa kari.

Mi segera Maggi mempunyai beberapa keunikan yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia. Antara keunikan tersebut termasuklah rasanya yang lazat, cepat dan mudah untuk disediakan.

Mi segera tidak hanya terkenal sebagai 'makanan alas perut' bagi mereka yang berpendapatan rendah, pelajar universiti atau pelajar sekolah berasrama penuh, bahkan golongan atasan sendiri pun menyukai mi segera Maggi. Senang cerita.. banyak golonganlah yang makan mi Maggi ni!

Menteri malaysia pun makan maggi

Mi segera Maggi yang mudah dan lazat ini sesuai untuk mereka yang memerlukan hidangan yang cepat dan mengenyangkan mengikut bajet.

Sehingga kini, mi segera Maggi berperisa kari atau lainnya begitu popular dikalangan masyarakat Malaysia. Mana tidaknya, mi segera itu dijual dengan harga yang murah dan mudah didapati di kebanyakan kedai.

Produk Maggi di Malaysia selain mi segera adalah termasuk sos, perencah, perisa, kiub sup dan bermacam lagi. Pendek kata semua ada!

Hari ini, Maggi terus menjadi nama besar dan sumber pemakanan yang dipercayai untuk berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Komitmen Julius Maggi yang tidak berbelah bahagi untuk mencipta makanan yang berkhasiat dan lazat telah meninggalkan kesan yang berkekalan kepada dunia makanan.

Bagaimanapun, jenama mi segera Maggi ini bukanlah jenama pertama yang mencipta mi segera, jika anda ingin tahu jenama manakah yang mencipta mi segera.. tunggu di artikel lain ya!
Admin

Telah mula menulis sejak 2011 tapi terbantut ditengah jalan. Kini kembali menulis lagi untuk berkongsi maklumat menarik dan terkini dalam dunia blogging, tips, infosihat, informasi menarik dan bermacam lagi. Stay Tuned!

1 Ulasan

  1. dari kecik aku duk ingt megi ni jenama malaysia haha :D

    BalasPadam
Catat Ulasan
Terbaru Lebih lama